Nasi Kak Wok (The Original) - satu fenomena makanan Kelantan yang mewujudkan perniagaan.
Nasi Kak Wok Original terletak di tepi Pusat Internet Bunut Payong, di Kampung Lundang, Jalan Sultan Yahya Petra atau dengan landmark pengecamannya adalah lorong Kota Bharu Medical Centre (KBMC).
Arwah Kak Wok atau nama sebenarnya Mek Wok Bt Hassan adalah merupakan pengasas nasi berlauk ayam goreng yang dipotong kecil bersama gulai kerompes ayam (sayap, tengkuk, paha, pedal, hati dan sebagainya). Pengasas wujudnya perniagaan Nasi Kak Wok adalah Encik Mat, anak jati Lundang yang mewarisi resepi original Kakwook setelah ketiadaan Mek Wok.
Premis Nasi Kak Wok merupakan sebuah tempat makan yang sederhana yang mengunapakai sistem layan diri dan pinggannya pula hanya beralaskan kertas pembungkus nasi sahaja. Tetapi kenapa dengan sebuah kedai kampung sebegini boleh menjadikan nama Kak Wok itu satu fenomena sehingga mewujudkan berpuluh mungkin beratus premis perniagaan nasi ala Kakwok di seluruh Kelantan.
Rahsianya hanya akan terjawab apabila anda menyuapkan nasi bersama sedikit kemanisan gulai kerompes dengan aroma terung, timun dan kacang panjang serta sedikit kemasinan ayam goreng dan kelembutan rasa masam pedas sambal belacan perahan asam limau kasturi yang meneutralkan keadaan rasa di lidah.
- Nasi putih
- Ayam goreng potong kecil
- Gulai dalca bersama kerompes ayam
- Sambal belacan